28.11.11

95: ghaib wujud

Dia adalah-
yang ghaib di dalam wujud,
yang wujud di dalam ghaib.

Seperti angin yang menghembus,
hembusannya ada
penghembusnya mana?

Terkaku dia ketika berlari,
terdiam dia di dalam suara,
teresak dia di galak bergelak.

Dia ada hatinya, tetapi tiada hati untuk hatinya.

30.7.11

94: luka celaka

Hati ini yang sering mengelak luka.

Hati ini yang sering mengundang celaka.

Hati ini yang sering mengelak luka, terus mengundang celaka.

Hati, maafkan yang ini.

1.7.11

93

8 pagi, aku jatuh cinta lagi.

dengan roti, dengan kopi.
cerita indah malam tadi,
kita jumpa dalam mimpi.

8 pagi, aku jatuh cinta lagi!

*tajuk komik.

22.6.11

92: timbang-tara

jika mahu dibanding rupa mereka,
anak kecil juga tahu yang mana jelik yang mana jelita.

jika mahu disetarafkan segak bergaya,
tak perlu ditenung lama
sekilas pandang sudah tahu siapa juara.

jika mahu diukur tegap tinggi diantara yang berdua,
jangan ditanya jawapan atau angka
pemenangnya tegak siap sedia.

jika diselam dua hati berbeza itu pula,
yang mana ada cinta, adalah cinta.

12.4.11

91

sejak dulu bagi kau cinta aku adalah dosa.
sampai sekarang kalau ada lagi sisanya, bagi kau tetap puaka.

cuma kalau ada lagi sisanya.

23.3.11

90

kalau dulu kau bahagia melihat kecewa aku,
sekarang
jangan kecewa melihat bahagia aku.

11.3.11

don't misplace your heart.
when it goes missing, you will die without
it in you.

17.2.11

89: punggok

kelmarin,
ada yang datang bawa cerita.
katanya dia mahu membaca untuk aku di telinga.
katanya dia mahu aku terbobok diribanya.

aku kata jangan dulu.
bukan aku jual mahal, cuma aku masih tak mampu.


* dua tiga minggu ini aku di asak dengan gelaran jual mahal, berlagak. aku tanya satu satu kamu, apa aku ini untuk menentu hati sendiri, aku tidak punya hak?

18.12.10

88: bertuahnya dia

aku takut kau tidak cintakan aku.

lebih takut lagi
bila kau cintakan perempuan lain.

macam sekarang.

12.12.10

87: perempuan

kerana kita perempuan, sayang.
yang dilahirkan dari rahimnya perempuan.
ada jiwa mulus, ada sopan.
ada akal budi, ada ketertiban.

kerana kita perempuan, sayang.
seperti ibu aku, ibu kamu. punya hati keibuan.
jangan dilempar dari bibirmu caci makian,
jangan benarkan peluang yang lain memberi kejian.

kerana kita perempuan, sayang.
terlalu banyak yang perlukan penjagaan,
teramat rumit berada di pandangan.

apa sangat makna keadilan,
jika kau belum mahu memaknakan ketakwaan?

perempuan, sayang-
marilah kita pulang ke jalan Tuhan.

86: mungkin bukan buta, cuma rabun silau.

kalau cinta kita buta,
pelangi petang tadi itu apa?
aku nampak jingganya sewaktu
kau cuba mengarahkan hijaumu.

kalau cinta kita buta,
tasik biru tadi itu apa?
aku nampak bayang-bayang hitam di
kala geloranya menusuk jasadmu.

10.12.10

85: belum

kau belum kehilangan aku, sayang.

kau tanya kenapa?

punya aku juga belum,
apa yang kau bilang hilangnya?

27.11.10

84: menjadi

menjadi pemaaf,
menjadi yang menerima dengan lapang dada.

mungkin ini anugerah yang paling agung Tuhan kurniakan kepada kita sebagai manusia.

25.11.10

83: masih

cuba cuba aku tarik.
ada sebilah belati di kanan bawah daguku.

satu, dua, tiga!
memercik darah.

kerana tikamannya mendalam didada.

cukuplah.
dulu juga pernah terluka. .
parut itu perkara biasa.

masih bernyawa, kan? masih bernyawa.


24.11.10

82: pagi

Tuhan,
bila agaknya bisa aku dapatkan
pagiku yang senyum?