kita tak tau apa di depan
kita mungkin tau, mungkin tak tau apa di belakang
kalau takut-takut,
macam mana nak sampai?
teruskan
biar lurus tak apa
biar bengkang-bengkok pun tak apa
naik bukit
terjun gaung
sesat hutan
hujan.
mesti teruskan.
baru namanya juang,
jangan angkat tangan.
manusia, memang banyak menentang berbanding yang menatang
selalu dikisah, selalu diendah
luruh semangat, jahanam, makin parah.
biar mereka cantas, biar kita makin pantas.
yang realitinya, kita ini
berpayung langit
berlantai tanah
bersaksi udara,
yang biru jelas tak terpegang
yang dipijak teguh tak tenggelam
yang memukul elus tak terpampang
jarum jam
bukan tunggu aku
bukan tunggu engkau
bukan tunggu dia.
tak tunggu kita pun
untuk langsaikan detiknya.
tunggu lagi untuk mimpi
tunggu lagi untuk mendaki
tak kemana pergi.
orang lain dah sampai angkasa,
bagus kerja, hidup selesa,
kita?
masih mencangkung
hingus meleleh-leleh, kesat air mata,
tak habis lagi cerita putus cinta,
belum sudah lagi nak cerita kecewa
tak mahu bangun lagi dari luka
tetap lagi nak tidur dengan apa yang orang nak kata.
terpukul, tersedu-sedu,
malu,
pilu,
sayu,
segan-segan.
masing-masing kita ada koyaknya,
masing-masing kita ada robeknya.
tetapi sebenarnya kita
cuma perlu bertabah,
cuma perlu menggagah,
tidak cuma berserah dan
tinggal lemah.
kalau namanya hidup, bernyawa,
biar maraknya itu menyala.
kita tepis keji,
tepis maki,
tepis benci.
lantakkan sahaja sesiapa nak menghalang,
bangkit dan cuma tegap!
* Frinjan 14, 2 Oktober 2010.
No comments:
Post a Comment